retrieved from:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
PANEL ulama Jordan dalam fatwanya baru-baru ini menyifatkan tembok keluli yang sedang dibina Mesir dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) dan Israel adalah sama seperti jenayah dalam penilaian Islam.
Mesir sebelum ini menyatakan pembinaan tembok keluli itu adalah satu keputusan untuk mempertahankan kedaulatan yang bertujuan menghalang penyeludupan dadah menerusi terowong di bawah sempadan yang digali secara haram dan digunakan untuk menyeludup pelbagai bekalan dan senjata.
Ulama Jordan melihat tembok berkenaan akan memburukkan lagi sekatan yang sedang dilaksanakan Israel ke atas Semenanjung Gaza dengan menghalang kemasukan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang dibawa menerusi terowong rahsia berkenaan.
Tembok keluli yang sedang dibina itu juga akan menghalang penyeludupan senjata dalam perjuangan Hamas sekali gus membantutkan jihad menentang tentera Yahudi.
Setelah siap, tembok keluli itu akan menyekat perhubungan terakhir Gaza melalui beratus-ratus terowong penyeludupan di sepanjang Gaza-Mesir, selain meningkatkan tekanan kepada pemerintah Gaza iaitu Hamas.
Penguasaan Hamas ke atas Gaza bergantung kepada sumber bekalan dan wang tunai dari terowong-terowong penyeludupan tersebut.
Israel menutup Gaza kepada semua pihak kecuali bantuan kemanusiaan terhad sejak Hamas merampas kuasa daripada tentera pada Jun 2007.
Sekatan berkenaan menyebabkan masalah kemiskinan di Gaza meningkat sekali gus menghalang kerja-kerja pembinaan semula kesan daripada serangan Israel ke atas Gaza pada 2008.
Gaza turut dilanda bencana kemanusiaan yang teruk akibat sekatan berkenaan apabila hospital-hospitalnya kehabisan bekalan perubatan sehingga ramai pesakit meninggal dunia.
Akhbar berbahasa Inggeris Turki, Hurriyet dalam salah satu laporannya sebelum ini berkata, polisi sekatan berkenaan bertujuan menyisihkan Gaza dari dunia luar supaya rakyat Gaza terdorong untuk menentang kerajaan pentadbiran Hamas.
"Lebih daripada 1.5 juta penduduk Gaza terperangkap dalam kawasan yang begitu padat dan sempit dengan tidak ada seorang pun dibenarkan masuk ke Gaza melalui Israel atau Mesir," lapor Hurriyet lagi.
Sementara Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu pula pernah dilaporkan berkata, Israel patut menamatkan malapetaka dan bencana di Gaza.
Seorang pemerhati politik Asia Barat yang enggan dikenali berkata, tembok yang sedang dibina Mesir pada masa ini akan menjadikan sekatan yang dikenakan ke atas Gaza pada masa ini menjadi semakin teruk pada masa akan datang.
''Jika tembok keluli itu benar-benar disiapkan, warga Gaza berisiko menghadapi kebuluran untuk tempoh jangka panjang. Tindakan ini umpama membunuh warga Gaza secara senyap," kata pemerhati berkenaan yang pernah melawat Palestin sebelum ini.
Pemerhati tersebut turut menyatakan bahawa kemungkinan besar Mesir kini sudah menyenaraihitamkan pasportnya daripada memasuki Gaza melalui negara tersebut pada masa akan datang.
Ini kerana beliau sudah dimaklumkan secara lisan mengenai tindakan itu ketika meninggalkan Mesir selepas melawat Gaza baru-baru ini.
Malah, selepas Konvoi Antarabangsa Viva Palestina meninggalkan Mesir untuk pulang ke negara masing-masing baru-baru ini juga, Mesir sudah membuat pengumuman untuk tidak membenarkan mana-mana konvoi kemanusiaan yang menghantar bantuan untuk masuk ke Gaza pada masa depan.
Ini bermakna hasrat Presiden Venezuela, Hugo Chavez untuk menganjurkan Konvoi Viva Palestina dari Amerika Selatan selepas ini berkemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.
Justeru, tambah pemerhati berkenaan, pihak yang prihatin dengan kebajikan warga Gaza perlu mencari jalan alternatif selain jalan darat melalui Mesir dan Israel untuk menyalurkan bantuan kepada warga Gaza.
''Alternatif yang perlu dikaji pada masa ini adalah menghantar bantuan secara terus kepada penduduk Gaza melalui jalan laut," jelas beliau.
Tambahnya, usaha untuk membela nasib dan kebajikan warga Gaza tidak boleh berhenti dan masyarakat dunia perlu terus diingatkan tentang kekejaman yang berlaku ke atas penduduk Gaza dari semasa ke semasa.
''Biarpun Gaza ditadbir oleh kerajaan Hamas, namun penggunaan matawang Israel iaitu shekel di Gaza pada hari ini menunjukkan Gaza tidak pernah bebas daripada penaklukan haram Israel sehingga tidak berpeluang menggunakan mata wang sendiri.
''Kali terakhir Malaysia menggunakan mata wang asing ialah ketika di bawah pemerintahan Jepun dulu. Apabila sesebuah negara menggunakan mata wang asing, ini bermakna negara tersebut berada di bawah penaklukan," jelas pemerhati berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Mesir yang begitu ghairah menyeksa warga Gaza sedangkan ia merupakan sebuah negara Islam.
''Jika Mesir menggunakan isu keselamatan sebagai alasan untuk menyekat sebarang bentuk bantuan ke atas warga Gaza kenapa mereka tidak tingkatkan lagi tahap keselamatan ke atas semua konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza?
''Isu Gaza bukanlah satu isu Islam semata-mata tetapi isu kemanusiaan," katanya.
Pemerhati berkenaan berpendapat, Mesir mempunyai sebab tersendiri untuk membina tembok keluli di sempadan Mesir dan Gaza.
Fakta Agensi Perisikan Pusat (CIA) menunjukkan Mesir di tangga ke-10 dalam negara-negara yang mempunyai hutang awam tertinggi di dunia.
Selain daripada itu, peratus rakyat Mesir yang hidup di bawah paras kemiskinan juga agak tinggi iaitu 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya iaitu lebih 80 juta orang.
Pengangguran di Mesir pula berada pada kadar 9.1 peratus.
Beliau berkata, salah satu alasan untuk Mesir menyokong Israel dalam menghalang warga Gaza mendapat bantuan adalah aspek ekonomi iaitu mendapatkan sokongan AS. Sokongan berkenaan juga mampu memastikan Presiden Hosni Mubarak mudah mengekalkan kedudukannya.
Jelas pemerhati tersebut, memanglah jika dilihat kepada semangat juang warga Palestin untuk hidup, mereka tidak akan mati biar apa pun sekatan yang dikenakan ke atas mereka.
''Dunia sudah menyaksikan bagaimana penduduk Palestin yang cuba dihapuskan sejak tahun 1948 lagi masih hidup dan berjuang sehingga ke hari ini.
''Namun, apa yang pasti warga Gaza akan menghadapi hidup yang sangat sukar dengan sikap Mesir yang sentiasa bekerjasama dengan Israel dan AS. Maka masyarakat dunia perlu terus mendesak Mesir untuk bersikap perikemanusiaan demi hak kemanusiaan penduduk Gaza," katanya.
~~Saya tak tahu sanagt mengenai isu ni tapi apa yang saya tahu tadi baru je belajar Human Rights yang ada dalam syllabus medic ni kat Uni Alexandria Mesir dan hairan kenapa warga Palestin seakan-akan dinafikan ke atas hak mereka sedangkan mereka manusia yang sama seperti kita dan mungkin lebih mulia di sisi Allah atas sebab semangat jihad yang mereka miliki..insyaAllah,,kita sebagai saudara seIslam hanya mampu berdoa so that one day, Palestine will be free..amin..
No comments:
Post a Comment